Kesidang Teguh Enterprise

Monday, January 01, 2007

EDI Mahu Jadi Pemborong Maya

Petikan dari akhbar Utusan Malaysia - 1.1.2007

Oleh DALIZA ARIFFIN

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Entrepreneurs Development Institute Sdn. Bhd. (EDI) bercadang untuk menjadi sebuah syarikat pemborong secara maya terbesar di negara ini dengan menarik lebih ramai usahawan bumiputera.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Abdul Aziz Azimullah berkata, cadangan ini mampu direalisasikan dalam tempoh 10 tahun akan datang memandangkan usahawan yang terlibat dalam projek itu semakin bertambah.
Tambahan pula, orang ramai semakin dapat menerima konsep baru membeli belah secara maya ini.Jelasnya, mungkin tempoh sasaran itu masih panjang lagi tetapi ia boleh direalisasikan seperti mana yang berlaku di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat yang mana perniagaan seperti itu mula berjaya malah boleh menggugat perniagaan borong sedia ada.
‘‘Bagi mencapai misi berkenaan, EDI telah membangunkan Rangkaian Usahawan Muslimin sejak enam bulan lalu dan ia kini memiliki seramai 200 orang usahawan.
‘‘Melalui rangkaian itu, kita kini memiliki pelbagai jenis produk daripada segmen barangan makanan hinggalah kepada kasut, barang kemas, aksesori kereta dan makanan tambahan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
EDI merupakan syarikat bumiputera yang menganjurkan kursus dan perundingan keusahawanan, pusat latihan dan pembangunan sumber manusia.
Abdul Aziz memberitahu, unjuran usahawan yang menyertai rangkaian berkenaan dijangka bertambah kepada 1,000 orang dalam tempoh setahun akan datang.
Jelasnya, rangkaian itu terbuka kepada semua usahawan bumiputera yang berminat termasuk juga graduan, surirumah dan pesara yang hanya memerlukan mereka melabur kira-kira RM1,000 sahaja.
Bagaimanapun, sebelum penyertaan tersebut, usahawan yang berminat bolehlah menghadiri kursus keusahawanan singkat yang dijalankan oleh EDI bagi meningkatkan pengetahuan mereka mengenai bidang perniagaan.
Katanya, yuran dikenakan adalah hanya RM50 sahaja seorang dan kursus berkenaan dijalankan secara bergilir-gilir di seluruh negara setiap hujung minggu.
Melabur
‘‘Mereka yang telah melabur dengan modal sebanyak itu bolehlah menyertai rangkaian perniagaan sedia ada kami yang kini telah bertambah kepada tujuh jenis segmen perniagaan.
‘‘Pada masa depan, namakan sahaja apa jenis barangan, pasti rangkaian kita dapat menyediakan kepada pelanggan,’’ tambahnya lagi.
Buat masa sekarang, rangkaian usahawan muslimin EDI memiliki tujuh segmen perniagaan yang terdiri daripada makanan tambahan berasaskan herba, barangan kemas dan kristal, barangan penjagaan kulit, biskut, spa dan barangan penjagaan kereta.
Antara segmen perniagaan baru yang sedang dibincangkan ialah mengusahakan restoran, pembungkusan barangan keperluan dapur seperti minyak, bawang dan lain-lain lagi.
Mengulas lanjut mengenai modus operandi perniagaannya, beliau berkata usahawan yang menyertai rangkaian ini boleh membuat tempahan melalui laman web EDI dan ia seterusnya diedarkan kepada kumpulan pelanggan masing-masing.
‘‘Hanya usahawan yang berdaftar sahaja yang dapat mengakses laman web itu secara terperinci dan membuat tempahan dengan harga yang berpatutan.
‘‘Tetapi bagi pelanggan lain mereka hanya dapat melayari laman web itu pada halaman pertama sahaja,’’ kata beliau.
Bagaimanapun, para pelanggan mereka boleh membuat tempahan barangan melalui katalog yang disediakan oleh usahawan rangkaian berkenaan.
Jelasnya, berniaga menggunakan katalog merupakan salah satu cara yang menjimatkan mereka yang mana tiada kos diperlukan oleh para usahawan itu membangunkan premis perniagaan masing-masing.
Malah, ia juga menjimatkan masa pengguna dan mengelakkan mereka menghadapi pelbagai masalah seperti kesesakan jalan raya atau di kaunter pembayaran ketika membeli belah di mana-mana pusat membeli belah.
Dalam masa yang sama, melalui rangkaian perniagaan sedemikian, para usahawan juga dijangka mampu meraih pendapatan antara RM1,000 hingga RM6,000 sebulan.

1 Comments:

At 6:57 PM, Anonymous Anonymous said...

lu tuduh ulamak munafik lu ape kurangnye kalu cakap tengok2 le ntah2 kite yg lebih munafiknye

 

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home